MAC 2023

Sarawak Laksana Kajian Menyeluruh, Perbaiki Sistem Perparitan


KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan satu kajian menyeluruh dalam usaha memperbaiki sistem saliran sedia ada dan akan mengadaptasi sistem saliran terbaik dunia termasuk dari negara Belanda bagi menangani banjir.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata,  Belanda merupakan sebuah negara yang berada di bawah paras laut dan mempunyai sistem yang baik dan mungkin boleh digunakan di Sarawak.

Banjir di kawasan Batu Kawa di sini berkurangan berikutan ada benteng di Kampung Rantau Panjang, katanya kepada media semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu Kawa di sini, hari ini.

“Saya rasa selepas benteng ini siap, kita dapat mempertahankan kampung-kampung daripada banjir kilat,” tegas beliau.

Abang Johari berkata, sungguhpun di beberapa kawasan Batu Kawa sekarang dinaiki air  namun tidak seburuk seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian mengetuai misi melaksanakan kajian tersebut di Belanda baru-baru ini dan kita akan laksanakan sistem baharu ini secara berperingkat bermula di Kuching terlebih dahulu, kemudian ke bahagian seterusnya yang berisiko banjir,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti